Friday, 12 October 2012

EtiKa Dalam KaunsEling


1. Kod Etika ini bertujuan menyediakan garis panduan kepada kaunselor dan juga menjadi asas dalam menyelesaikan isu etika yang timbul dan dianggap menyeleweng daripada standard perlakuan kaunselor. Kod Etika ini menggariskan standard perlakuan kaunselor dalam menjalin perhubungan profesional dengan klien, rakan-rakan kaunselor, majikan, individu dan profesion lain serta masyarakat keseluruhannya. la juga merangkumi etika perlakuan yang standard mengenai tatalaku yang sesuai dengan kedudukan dan identiti sebagai seorang kaunselor.

2. Kod Etika ini berasaskan kepada nilai-nilai utama perkhidmatan kaunseling dan memberi penekanan kepada harga diri, digniti, dan keunikan semua individu termasuk hak-hak dan peluang-peluang mereka. Ia juga berasaskan kepada profesion kaunseling itu sendiri yang mengutamakan nilai-nilai murni.

3. Apabila menghadapi situasi yang memerlukan intervensi, kaunselor hendaklah menunaikan tanggungjawab etika dengan memberi pertimbangan berasaskan kepada semua prinsip yang terkandung dalam Kod Etika.

4. Kod Etika ini tidak menggariskan semua peraturan mengenai perlakuan kaunselor dalam menghadapi keadaan yang begitu kompleks dalam melaksanakan tanggungjawab.

5. Kod Etika ini tidak seharusnya digunakan sebagai instrumen untuk menyekat peluang dan kebebasan kaunselor dalam mengamalkan khidmat kaunseling. Ia juga tidak harus digunakan untuk mengenakan tindakan disiplin kepada kaunselor tanpa diberi hak perlindungan dan keadilan yang maksimum. Kod Etika ini berperanan sebagai panduan kepada Majlis Kaunseling Kebangsaan untuk membuat keputusan dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan etika.

SKOP KAUNSELING

1. Perkhidmatan Kaunseling ialah perkhidmatan yang memberi peluang kepada klien untuk berkembang kearah kehidupan yang lebih bahagia dan bermakna. Ia merangkumi usahakerja dengan individu atau kumpulan. Objektif perhubungan kaunseling berbeza mengikut klien.

2. Skop perkhidmatan kaunseling meliputi isu-isu perkembangan (developmental), analisa dan penyelesaian masalah, membuat keputusan, menangani krisis, mengembangkan kefahaman kendiri, meningkatkan ketahanan emosi semasa menghadapi konflik dalaman atau memperbaiki dan mempertingkatkan hubungan dan interaksi dengan individu lain.

3. Kaunselor berperanan sebagai pemudahcara kepada klien dalam menangani isu dan masalah yang dihadapi dengan menghormati martabat diri, nilai dan keupayaannya.

KOD TATALAKU

1. Kaunselor hendaklah menjaga tatalakunya demi memelihara standard dan identiti sebagai seorang kaunselor dan intergriti profesion kaunseling.

2. Kaunselor hendaklah sentiasa berusaha menilai dan meningkatkan pengetahuan, kecekapan dan kemahiran dalam bidang profesionnya.

3. Kaunselor hendaklah menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, objektif dan jujur selaras dengan profesion kaunseling.

4. Kaunselor mestilah diawasi serta dinilai tugas kaunselingnya oleh penyelia profesional melalui penyeliaan lazim (regular supervision) dan sokongan perundingan (consultative support).

Thursday, 11 October 2012

Kaunseling??? Apakah???


Kaunseling sebagai satu profesion mempunyai asas yang saintifik dan objektif daripada bidang psikologi, sosiologi, psikiatri, antropologi dan falsafah. Ia tumbuh dan berkembang hasil daripada dapatan penyelidikan tentang perkembangan sahsiah manusia serta teori-teori pembelajaran. Di samping itu, ia juga berkembang daripada situasi, faktor atau keadaan yang kurang saintifik dan kurang objektif. Ini berdasarkan kepada kepercayaan:
  • Bahawa setiap individu dapat menentukan matlamat hidupnya dan memberi makna kepada kehidupan masing-masing.
  • Mengakui hakikat bahawa hidup ini penuh dengan cabaran dan manusia bertanggungjawab terhadap arah kehidupan masing-masing. Kaunseling merupakan proses bersemuka di antara kaunselor dan klien, iaitu orang yang meminta pertolongan sama ada datang sendiri ataupun dirujuk.
  •  Tujuan pertemuan itu adalah untuk mencari alternatif yang paling sesuai bagi klien membuat keputusan menyelesaikan masalah dirinya, di samping mengetahui baik buruk dan kekangan yang akan dihadapi oleh klien atas keputusannya itu.
          Kaunseling adalah proses interaksi yang membolehkan individu memahami diri dan situasinya. Proses ini akan mengakibatkan pembentukan atau penjelasan matlamat dan nilai hidup individu itu hingga dia dapat menentukan tindakan yang wajar untuk masa depannya. Kaunseling juga ialah proses pertemuan interaksi bersemuka antara seorang kaunselor dengan klien yang mengakibatkan berlaku perubahan pada klien.
          Kaunseling bukanlah bertujuan untuk menolong klien menyesuaikan diri dengan masyarakat, tetapi ia menolong klien memahami dirinya yang sebenar – apa kelebihan dan kekurangannya; apa yang boleh dilakukan dengan mudah; apa yang boleh dilakukan tetapi menghadapi masalah dan apa yang tidak boleh dilakukannya langsung.
          Kaunseling dirujuk sebagai proses apabila seorang klien diberi peluang untuk meneroka aspek diri dan kehidupan yang menimbulkan kesusahan atau masalah baginya. Penerokaan ini akan menimbulkan kesedaran tentang diri dan situasinya serta pilihan-pilihan yang ada padanya. Proses ini diharap akan dapat menolong klien itu mengesan halangan-halangan dan mengenal pasti bakat atau kebolehannya untuk hidup dengan lebih sempurna.
          Kesimpulannya, kaunseling merupakan proses pertolongan. Melalui proses ini, klien dibimbing membuat keputusan sendiri. Asas bagi proses ini ialah perhubungan antara kaunselor dengan klien atas dasar bahawa kesan perhubungan itu akan menyebabkan klien berubah.