Tuesday 16 October 2012

JOm SemaK KelayAkan ExaM aNdA

entry ini khas untuk pelajar yang baru ambil result exam.tak kisah la SPM ke? STPM ke?? Matrik ke?? asalkan dah habis exam.. mesti tertanya-tanya course apa yang sesuai untuk kamu kan.. yang penting bersesuian dengan keputusan exam dan minat kamu semua..

yang seronoknya sekarang semuanya hanya di hujung jari..tak payah susah-susah macam kami semua yang jenuh nak tanya orang sana-sini untuk dapatkan feedback..masa minggu-minggu macam ni kebanyakan bilik kaunselor memang full...semua pakat nak tanya kaunselor..padahal sebelum ni bilik kaunseling tu kosong je..betul kan??

JADI,kami nak jimatkan masa anda.tak perlu jalan jauh-jauh. kat rumah pon boleh tahu..heheh..sambil-sambil belek FB tu boleh la belek link ni sekali..bagi sape-sape yang bukan lepasan exam-exam ni pon boleh je kalau nak try.. kalau berminat boleh la klik disini 

selamat mencuba..(^_^)

Friday 12 October 2012

taNggungJawab KaunSelor


 Tanggungjawab Kaunselor Terhadap Klien

1.Kaunselor bertanggungjawab mengutamakan kepentingan klien, sama ada klien individu atau klien korporat (organisasi).

2. Kaunselor hendaklah menghormati privasi klien dan merahsiakan segala maklumat yang diperolehi semasa kaunseling melainkan jikalau maklumat itu akan membahayakan klien atau orang-orang dipersekitarannya.

3. Kaunselor hendaklah memahami dan menghormati latar belakang sosiobudaya klien.

4. Semasa perhubungan kaunseling , kaunselor hendaklah memelihara kesejahteraan fisikal dan psikologi klien, dan tidak memperalatkan klien untuk kepentingan diri sendiri sama ada dalam aspek kewangan, seksual, emosi dan sebagainya atau dalam apa bentuk sekalipun.

5. Kaunselor hendaklah membimbing klien kearah pembentukan sikap bertanggungjawab terhadap tingkahlakunya. Kaunselor juga perlu menghormati keputusan atau penentuan kendiri yang dibuat oleh klien.

6. KaunseIor hendaklah berkhidmat dengan penuh dedikasi, ikhlas, jujur dan membuktikan kemahiran serta kecekapan profesionalismenya.

7. Kaunselor tidak boleh mengamalkan, mempersetujui atau menggalakkan diskriminasi berasaskan ras, jantina, agama, status, ideologi, kecacatan fisikal, mental atau diskriminasi dalam apa-apa bentuk sekali pun.

8. Kaunselor hendaklah menjelaskan kepada klien mengenai keperluan, proses dan implikasi perkhidmatan kaunseling.

9. Kaunselor hendaklah mencapai persetujuan dengan kliennya diperingkat awal sesi kaunseling mengenai batasan umur kerahsiaan.

10. Apa-apa persetujuan di antara kaunselor dan klien mengenai kerahsiaan boleh di semak semula dan diubah dengan persetujuan bersama.

11. Dalam kes di mana jelas terbukti bahawa klien, mengikut pertimbangan kaunselor menunjukkan dengan jelas, diri klien atau orang Iain berada dalarn keadaan bahaya, kaunselor hendaklah menggunakan budi bicaranya mengambil tindakan wajar untuk menjaga kepentingan klien dan orang lain yang terlibat.

12. Kaunselor tidak digalakkan memberi perkhidmatan kaunseling kepada saudara mara, kawan karib, ataupun kepada mereka yang mempunyai hubungan intim dengannya atau mempunyai hubungan dengan pihak pentadbiran yang berunsurkan penilaian terhadap prestasinya.

13. Kaunselor tidak boleh menghalang klien yang hendak menamatkan sesi kaunseling atau ingin menukar kepada kaunselor yang lain.

14. Kaunselor hendaklah memastikan bahawa klien yang diberi khidmat kaunseling tidak menjalani kaunseling dengan kaunselor yang lain pada masa yang sama.

15. Sekiranya mengikut pertimbangan kaunselor, klien memerlukan perkhidmatan luar daripada bidang kepakarannya, kaunselor perlu merujuk klien kepada pihak berkenaan.

16. Kaunselor hendaklah menyediakan tempat yang selesa dan private untuk sesi kaunseling. Klien tidak seharusnya diperhatikan oleh orang lain melainkan dengan kebenarannya, ini termasuk juga sesi kaunseling yang dirakam atau dipita videokan.

EtiKa Dalam KaunsEling


1. Kod Etika ini bertujuan menyediakan garis panduan kepada kaunselor dan juga menjadi asas dalam menyelesaikan isu etika yang timbul dan dianggap menyeleweng daripada standard perlakuan kaunselor. Kod Etika ini menggariskan standard perlakuan kaunselor dalam menjalin perhubungan profesional dengan klien, rakan-rakan kaunselor, majikan, individu dan profesion lain serta masyarakat keseluruhannya. la juga merangkumi etika perlakuan yang standard mengenai tatalaku yang sesuai dengan kedudukan dan identiti sebagai seorang kaunselor.

2. Kod Etika ini berasaskan kepada nilai-nilai utama perkhidmatan kaunseling dan memberi penekanan kepada harga diri, digniti, dan keunikan semua individu termasuk hak-hak dan peluang-peluang mereka. Ia juga berasaskan kepada profesion kaunseling itu sendiri yang mengutamakan nilai-nilai murni.

3. Apabila menghadapi situasi yang memerlukan intervensi, kaunselor hendaklah menunaikan tanggungjawab etika dengan memberi pertimbangan berasaskan kepada semua prinsip yang terkandung dalam Kod Etika.

4. Kod Etika ini tidak menggariskan semua peraturan mengenai perlakuan kaunselor dalam menghadapi keadaan yang begitu kompleks dalam melaksanakan tanggungjawab.

5. Kod Etika ini tidak seharusnya digunakan sebagai instrumen untuk menyekat peluang dan kebebasan kaunselor dalam mengamalkan khidmat kaunseling. Ia juga tidak harus digunakan untuk mengenakan tindakan disiplin kepada kaunselor tanpa diberi hak perlindungan dan keadilan yang maksimum. Kod Etika ini berperanan sebagai panduan kepada Majlis Kaunseling Kebangsaan untuk membuat keputusan dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan etika.

SKOP KAUNSELING

1. Perkhidmatan Kaunseling ialah perkhidmatan yang memberi peluang kepada klien untuk berkembang kearah kehidupan yang lebih bahagia dan bermakna. Ia merangkumi usahakerja dengan individu atau kumpulan. Objektif perhubungan kaunseling berbeza mengikut klien.

2. Skop perkhidmatan kaunseling meliputi isu-isu perkembangan (developmental), analisa dan penyelesaian masalah, membuat keputusan, menangani krisis, mengembangkan kefahaman kendiri, meningkatkan ketahanan emosi semasa menghadapi konflik dalaman atau memperbaiki dan mempertingkatkan hubungan dan interaksi dengan individu lain.

3. Kaunselor berperanan sebagai pemudahcara kepada klien dalam menangani isu dan masalah yang dihadapi dengan menghormati martabat diri, nilai dan keupayaannya.

KOD TATALAKU

1. Kaunselor hendaklah menjaga tatalakunya demi memelihara standard dan identiti sebagai seorang kaunselor dan intergriti profesion kaunseling.

2. Kaunselor hendaklah sentiasa berusaha menilai dan meningkatkan pengetahuan, kecekapan dan kemahiran dalam bidang profesionnya.

3. Kaunselor hendaklah menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, objektif dan jujur selaras dengan profesion kaunseling.

4. Kaunselor mestilah diawasi serta dinilai tugas kaunselingnya oleh penyelia profesional melalui penyeliaan lazim (regular supervision) dan sokongan perundingan (consultative support).

Thursday 11 October 2012

Kaunseling??? Apakah???


Kaunseling sebagai satu profesion mempunyai asas yang saintifik dan objektif daripada bidang psikologi, sosiologi, psikiatri, antropologi dan falsafah. Ia tumbuh dan berkembang hasil daripada dapatan penyelidikan tentang perkembangan sahsiah manusia serta teori-teori pembelajaran. Di samping itu, ia juga berkembang daripada situasi, faktor atau keadaan yang kurang saintifik dan kurang objektif. Ini berdasarkan kepada kepercayaan:
  • Bahawa setiap individu dapat menentukan matlamat hidupnya dan memberi makna kepada kehidupan masing-masing.
  • Mengakui hakikat bahawa hidup ini penuh dengan cabaran dan manusia bertanggungjawab terhadap arah kehidupan masing-masing. Kaunseling merupakan proses bersemuka di antara kaunselor dan klien, iaitu orang yang meminta pertolongan sama ada datang sendiri ataupun dirujuk.
  •  Tujuan pertemuan itu adalah untuk mencari alternatif yang paling sesuai bagi klien membuat keputusan menyelesaikan masalah dirinya, di samping mengetahui baik buruk dan kekangan yang akan dihadapi oleh klien atas keputusannya itu.
          Kaunseling adalah proses interaksi yang membolehkan individu memahami diri dan situasinya. Proses ini akan mengakibatkan pembentukan atau penjelasan matlamat dan nilai hidup individu itu hingga dia dapat menentukan tindakan yang wajar untuk masa depannya. Kaunseling juga ialah proses pertemuan interaksi bersemuka antara seorang kaunselor dengan klien yang mengakibatkan berlaku perubahan pada klien.
          Kaunseling bukanlah bertujuan untuk menolong klien menyesuaikan diri dengan masyarakat, tetapi ia menolong klien memahami dirinya yang sebenar – apa kelebihan dan kekurangannya; apa yang boleh dilakukan dengan mudah; apa yang boleh dilakukan tetapi menghadapi masalah dan apa yang tidak boleh dilakukannya langsung.
          Kaunseling dirujuk sebagai proses apabila seorang klien diberi peluang untuk meneroka aspek diri dan kehidupan yang menimbulkan kesusahan atau masalah baginya. Penerokaan ini akan menimbulkan kesedaran tentang diri dan situasinya serta pilihan-pilihan yang ada padanya. Proses ini diharap akan dapat menolong klien itu mengesan halangan-halangan dan mengenal pasti bakat atau kebolehannya untuk hidup dengan lebih sempurna.
          Kesimpulannya, kaunseling merupakan proses pertolongan. Melalui proses ini, klien dibimbing membuat keputusan sendiri. Asas bagi proses ini ialah perhubungan antara kaunselor dengan klien atas dasar bahawa kesan perhubungan itu akan menyebabkan klien berubah.